Isnin, 25 Mei 2009

Dun penanti - medan menghentam umno - bn

Kempen pilihan raya kecil DUN Penanti menyaksikan hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sahaja menganjurkan ceramah pada Jumaat malam. Walaupun berhadapan dengan calon bebas seperti yang diduga ceramah PKR menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran di samping memberi ruang kepada para pemimpin mereka untuk terus menghina mahkamah dengan mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dengan kedudukan Menteri Besar Perak.

Bukan sahaja penceramah-penceramah amatur dalam hujahnya jelas menghina keputusan mahkamah, nama-nama besar termasuk Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadikan BN sebagai isu utama di samping isu Menteri Besar Perak sebagai daya tarikan kepada para pengunjung.Malah Anwar memberi ingatan kepada ‘penonton’ ceramahnya bahawa pilihan raya kecil DUN Penanti bukan melibatkan PKR dan bebas tetapi antara PKR dengan BN sebab beliau mendakwa kononnya calon bebas adalah ‘proksi’ kepada BN.

Calon-calon bebas yang bertanding adalah Aminah Abdullah yang juga merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Pulau Pinang, Nai Khan Ari yang dikatakan bekas ahli GERAKAN dan Kamarul Ramizu Rosli, yang pernah menjadi calon bebas dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebelum ini telah menegaskan bahawa BN tidak ada kena mengenai dengan pilihan raya kecil DUN Penanti.

Malah BN bukan sahaja tidak ada kaitan dengan calon-calon bebas tetapi tidak akan terlibat dengan apa-apa aktiviti kempen di kawasan itu.Dalam ceramahnya di Padang Berapit, Anwar sebagai mana biasa terus menyerang kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta UMNO yang didakwanya parti perkauman..Sementara menuduh UMNO memainkan isu perkauman, Anwar pada masa yang sama memainkan sentimen masyarakat Cina dan India untuk menolak UMNO dan BN walaupun pilihan raya kecil DUN Penanti tidak ada kena mengena dengan parti itu.
Dalam keghairahan Anwar berucap, satu perkara yang menarik ialah apabila beliau menyentuh mengenai perkembangan politik negeri Perak. Beliau bukan sahaja mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tetapi membuat cerita dongeng yang baru bahawa Datuk Seri Nizar Jamaluddin kononnya diguling kerana memberi tanah kepada orang Cina di Perak.“Apa salah Nizar. Beliau digulingkan kerana beri tanah kepada Cina.
Saya nak tegaskan bahawa saya sokong tindakan Nizar dalam soal pemberian tanah ini,” katanya.Namun, sepanjang 45 minit berucap, Anwar tidak pula menyentuh mengenai hakikat bahawa tindakan membawa kes tersebut ke mahkamah dimulakan oleh Nizar sendiri dan bukannya di bawa oleh Dr Zambry.

Beliau juga tidak menjelaskan bahawa Nizar tidak lagi menjadi Menteri Besar kerana sudah hilang kepercayaan daripada majoriti ADUN Negeri Perak setelah dua ADUN PKR dan satu DAP semasa pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri Perak keluar parti masing-masing dan sehingga kini masih menjadi ADUN Bebas. Kenapa timbul cerita Nizar diguling dan keputusan mahkamah dipertikai dengan menuduh tiada kebebasan dalam kehakiman.Kenapa Anwar tidak mengulas mengenai tindakan dua ADUN PKR Perak meninggalkan parti itu.

Adakah beliau bimbang orang yang bertanya balik kepadanya, kenapa PKR dengan gembira menerima ADUN BN kawasan Bota yang lompat sekejap ke dalam PKR dan menganggap itu amalan demokrasi tetapi bila kena batang hidung sendiri pelbagai tuduhan dan tohmahan dibuat.Apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi keputusan memihak kepada pakatan pembangkang, keputusan itu bukan sahaja dianggap tepat malah hakim dan institusi kehakiman dipuji.

Akan tetapi apabila mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka, kenapa semuanya dikatakan tidak adil dan tidak bebas.Hakikatnya, pilihan raya kecil DUN Penanti walaupun tidak melibatkan BN tetapi PKR tidak punya isu lain untuk dibawa kepda rakyat sebaliknya menyerang UMNO, BN dan para pemimpinnya sebagai retorik untuk memuaskan hawa telinga penonton yang datang mendengar ceramah mereka.Buktinya nilailah ungkapan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin ketika mengakhiri ucapannya pada majlis ceramah tersebut dengan selamba dan tanpa rasa malu berkata “Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang tidak baik datang dari Najib”. Apa kena mengena ungkapan ini dengan pilihan raya kecil DUN Penanti. - juri rakyat

Tiada ulasan: